KUCHING, 20 Dis: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap MP Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii telah berjaya memperoleh kelulusan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk kerja-kerja menaik taraf Pasar Sentral Sarikei.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), peruntukan diperolehi daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Kata Huang, skop kerja ini merangkumi pembinaan tempat berteduh bagi lokasi penjaja selain menaik taraf kemudahan-kemudahan lain.
“Proses tender projek akan dijalankan dalam masa terdekat di mana kerja-kerja menaik taraf dijangka akan bermula awal tahun depan,” katanya semasa melakukan tinjauan ke lokasi Pasar Sentral Sarikei baru-baru ini.
Sementara itu, Huang berharap usaha peningkatan kualiti kemudahan ini akan dapat menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif untuk aktiviti jual beli. —DayakDaily