Oleh Dean Adam
SIBU, Okt 30: Sejumlah RM1 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi menambahbaik infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Sarawak.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata, jumlah yang diperuntukkan itu adalah untuk membangunkan sistem ICT di negeri ini dalam tempoh empat hingga lima tahun.
Jelasnya, salah satu ialah dengan membangunkan Hab Inovasi Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (Tegas).
“Hab digital pertama di Kuching telah beroperasi sejak Ogos 28 lalu, begitu juga dengan di Sarikei.
“Ketika ini kita sedang membangunkan hab digital sama di Bintulu serta Miri bagi mengasah bakat golongan muda khususnya dalam ekonomi digital,” katanya semalam.
Len yang juga pengerusi Tegas menambah, kerajaan negeri juga merancang untuk membuka hab digital di seluruh bahagian.
Katanya, kerajaan negeri juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk membangunkan Kampung Digital.
“Kampung Digital ini kelak akan berperanan sebagai inkubator dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2020.
“Tujuan Kampung Digital ini adalah untuk nenyokong sektor keusahawanan dan melahirkan inovator di seluruh negeri,” jelasnya. — DayakDaily