Rakyat harus kekal setia bersama GPS, kata Penguang

Penguang (empat dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Oleh Dean Adam

MARUDI, Okt 30: Rakyat di negeri ini harus kekal berdiri teguh di belakang kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr Penguang Manggil berkata, meskipun di peringkat persekutuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui, namun di Sarawak GPS kekal sebagai peneraju kerajaan negeri ini.


Menurutnya, kekal bersatu merupakan kunci kepada kekuatan GPS dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

“Kita (rakyat) mesti elakkan perpecahan kerana ia boleh menyebabkan ada pihak yang mengambil peluang dan itulah yang mereka ingin lihat kita jatuh.

“Jadi, kita harus melupakan kisah lama dan bersedia mara ke hadapan untuk kemajuan serta pembangunan yang berterusan,” katanya semasa Program Karnival Sukan Rakyat anjuran Pemuda Armada PBB N76 dan Wanita PBB Cawangan N76, semalam.

Sementara itu, Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi memberitahu, beliau berharap projek Tebingan Marudi serta Kubu House Marudi dapat diteruskan seperti dirancang sebelum ini.

Katanya, peruntukan bagi projek berkenaan telah dihentikan oleh kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum yang lepas.

“Saya telah menyuarakan masalah ini kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana projek tersebut merupakan projek harapan bagi masyarakat di Marudi khasnya,” katanya. — DayakDaily