KAPIT, April 10: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan terus merancang pelbagai program berkaitan ekonomi bagi membantu para pekebun kecil getah di negeri ini sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan menerusi agensi tersebut sentiasa memberi keutamaan terhadap kebajikan golongan tersebut meskipun harga komoditi itu di pasaran tidak menentu.
Jelasnya, kementerian terbabit juga telah menyampaikan peruntukan pembangunan kepada Stesen RISDA Kapit berjumlah RM1,575,188 hari ini.
“Malah, sepanjang tahun ini, sejumlah RM47 juta telah disalurkan kepada RISDA bagi melaksana atau merancang pelbagai program pembangunan untuk para pekebun kecil getah.
“Ini jelas membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan terbabit dalam usaha meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga masing-masing,” katanya di dalam Majlis Kasihi Pekebun RISDA Negeri Sarawak 2018 di Balai Raya Song di sini hari ini.
Penyandang kerusi Parlimen Kapit itu menambah, beliau mahu kakitangan RISDA memberi sepenuh komitmen dalam membantu RISDA menjayakan segala agenda dan dasar kerajaan untuk memartabatkan industri getah ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, RISDA perlu bekerja keras agar organisasi tersebut dapat terus memberikan komitmen dalam membantu pekebun kecil di seluruh negeri ini.
“Saya harap komitmen secara total supaya kesinambungan kejayaan RISDA selama ini dapat diteruskan,” ujarnya lagi. —DayakDaily