BINTULU, 25 Nov: Seorang penghantar makanan (rider) mengalami patah tulang paha selepas terlibat dalam kemalangan berhadapan Pearl Garden, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa semasa kejadian dikatakan menunggang motosikal dan berlanggar dengan sebuah kereta.
Perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa yang berusia 22 tahun tercampak ke dalam parit.
Katanya, Bomba menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.56 petang dan anggota dari Balai Bomba Bintulu terus ke lokasi kejadian.
“Mangsa berada di dalam parit sedalam dua kaki semasa ketibaan pihak bomba dan dikatakan mengalami kepatahan tulang paha.
“Pasukan Bomba bertindak menggunakan pengusung untuk mengangkat mangsa dari dalam parit dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya
Setelah memastikan keadaan selamat, pasukan bomba kemudian bertolak balik ke balai.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.36 petang. — DayakDaily