‘Rider’ Foodpanda maut dalam kemalangan di Semariang

Gambar komposit menunjukkan keadaan di lokasi kejadian.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 29 Mac: Seorang penghantar makanan (‘rider’) Foodpanda maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Semariang, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa, 20 tahun, dari Kampung Semariang Pinggir semasa kejadian menunggang motosikal seorang diri sekitar jam 11.35 pagi.

Katanya, mangsa dipercayai hilang kawalan motosikal lalu terbabas.


“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari arah lampu isyarat Jalan Sultan Tengah menghala ke Bulatan Semariang telah hilang kawalan dan terbabas sendiri lalu melanggar tiang lampu.

“Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk saringan Covid-19 sebelum dibedah siasat.

Siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

“Motosikal yang ditunggangi mangsa juga ditahan untuk pemeriksaan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer),” katanya. — DayakDaily