Raja Permaisuri Agong lawat Bengkel Tenun Songket SaraPride

Raja Permaisuri Agong meneliti kain songket di Bengkel Songket SaraPride.

KUCHING, 29 Mac: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini mengadakan lawatan ke Kompleks Penjara Puncak Borneo untuk meninjau Bengkel Tenun Songket SaraPride.

Turut serta mengiringi Raja Permaisuri Agong ialah isteri Premier Sarawak yang juga penaung ‘Projek Inovasi Warisan Sarawak: Songket dan Keringkam’ Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Menurut Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Dato Nordin Muhamad, Bengkel Tenun Songket SaraPride adalah hasil kolaborasi Jabatan Penjara Malaysia bersama Kerajaan Negeri.


Katanya, kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM50,000 bagi tujuan membaik pulih bengkel dan perolehan bekalan.

“Jabatan Penjara Malaysia pula telah memperuntukan sebanyak RM40,000 untuk pembelian peralatan yang diperlukan termasuk 10 unit dukan dengan pembuatannya oleh Penjara Pusat Miri termasuk benang tenun dan peralatan bengkel yang lain,” kata Nordin dalam ucapan aluannya.

Tambah beliau, Jabatan Penjara Malaysia dan Kerajaan Negeri pada 26 Januari 2022 telah mengadakan Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan Bengkel Songket SaraPride.

Sejumlah RM6 juta telah disalurkan kerajaan negeri bagi pembinaan Bengkel Songket SaraPride bagi Projek Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE).

“OKSHE mensasarkan 100 rumah tenun atau dukan yang mampu menghasilkan lebih banyak kain songket Sarawak bagi mengekalkan Warisan Sarawak,”ujar Nordin.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah. — DayakDaily