Rh Sunok Teliting terima geran RM50,000 dan 20 unit kipas ‘Hadiah Istimewa’ Gawai 2019

Jugah (tiga kiri) di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Sunok Teliting, Lubok Antu.

KUCHING, Mei 21: Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang menggesa ketua-ketua masyarakat memastikan isu dan kebajikan rakyat dipelihara dengan baik.

Di samping itu, beliau juga inginkan golongan pemimpin ini membantu kerajaan mengekalkan perpaduan sedia ada.

“Adalah menjadi tanggungjawab ketua-ketua masyarakat memastikan isu dan kebajikan rakyat dipelihara termasuk membantu kerajaan mengekalkan perpaduan sedia ada.


“Kita perlu mengutamakan kebajikan rakyat dan kita juga mahu semua rakyat di kawasan parlimen Lubok Antu tanpa mengira idealogi politik perlu berganding bahu dan berkerjasama ke arah perlaksanaan pembangunan di kawasan Lubok Antu,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Sunok Teliting, Lubok Antu pada 19 Mei 2019 lepas.

Tambah Jugah, peranan pemimpin kerajaan persekutuan serta kerjasama dan sokongan ketua masyarakat merupakan jambatan yang menghubungkan penduduk dengan kerajaan.

Justeru, hubungan baik dan kerjasama kedua-dua pihak itu sangat penting agar segala pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat itu, Jugah menyumbangkan geran sebanyak RM50,000 dan 20 unit kipas kepada Rumah Sunok.

Beliau turut memperuntukkan RM10,000 kepada setiap 9 buah rumah panjang sekitar Rumah Sunok Teliting, Lubok Antu.

“Penduduk rumah panjang di negeri ini tetap akan diberi perhatian demi melaksanakan pembangunan secara inklusif dan menyeluruh kepada rakyat.

“Kerajaan persekutuan sememangnya memberi perhatian sama rata kepada rakyat negeri ini khasnya penduduk luar bandar,” katanya.

Majlis yang diselitkan dengan pelbagai aktiviti santai itu telah menarik lebih 250 tetamu dari sekitar Rumah Sunok Teliting, Lubok Antu.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Lubok Antu Jim Andrew Janggi, Pegawai Bomba Gemong Batu dan sembilan orang tuai rumah dari kawasan sekitar Telilting, Lubok Antu. — DayakDaily