Resolusi Cabang Hulu Rajang: PKR bertanding di DUN Baleh, Murum dan Belaga

Abun (duduk dua dari kiri) pada mesyuarat PKR Cabang Hulu Rajang hari ini.

KUCHING, 20 Jun: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Rajang pada mesyuarat hari ini membuat resolusi bahawa Keadilan akan bertanding di kerusi DUN Baleh.

Menurut Ketuanya Abun Sui Anyit, Keadilan mempunyai kekuatan di Baleh seperti keahlian dan jentera yang ramai berbanding parti komponen lain.

“PKR Cabang Hulu Rajang dalam mesyuarat hari ini membuat resolusi agar kerusi DUN Baleh dipertandingkan semula oleh Keadilan sebagai mewakili Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain DUN Baleh, PKR Cabang Hulu Rajang turut membuat resolusi bahawa Keadilan akan bertanding di kerusi DUN Murum dan DUN Belaga.

Mengulas isu lain, Abun memaklumkan bahawa PKR Hulu Rajang tidak pernah melawan kepimpinan parti, baik dari presiden hinggalah ke peringkat cabang.

Katanya, dakwaan kononnya Ketua Cabang bersama AJK Cabang melawan Presiden adalah perbuatan yang sengaja dicipta oleh musuh Keadilan yang berniat jahat terhadap PKR Hulu Rajang.

Justeru, beliau menggesa ahli-ahli PKR Hulu Rajang untuk terus menyokong kepimpinan semasa termasuk MPN Sarawak yang baru yang diketuai oleh MP Pakan Larry Sng Wei Shien.-DayakDaily