Rempuh treler sawit, seorang lelaki maut

Keadaan kereta mangsa yang merempuh belakang treler.

BINTULU, Feb 19: Akibat merempuh belakang sebuah treler, seorang lelaki menemui ajal selepas tersepit dalam kereta yang dipandunya dalam satu kemalangan di KM 15, Jalan Tatau-Bintulu dekat sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Sia Sung Hung, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Katanya, sebelum nahas itu, mangsa yang memandu Proton Wira difahamkan dalam perjalanan dari arah Tatau menuju ke Bintulu.


“Bagaimanapun, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari laluan sebelah kiri gagal masuk ke laluan sebelah kanan kerana lorong memotong telah tamat dan melanggar bahagian belakang treler yang diparkir di bahu jalan itu.

“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tersepit pada tempat duduk pemandu, manakala bahagian depan keretanya terperosok di bawah treler sawit berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu treler yang berusia 54 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, siasatan di tempat kejadian telah dibuat dan mendapati kawasan kemalangan merupakan jalan lurus dua lorong dua hala dan setiap hala dipisahkan dengan garisan putih putus-putus sebagai pembahagi jalan.

“Kemalangan berlaku di penghujung laluan dua hala dan mengecil menjadi sehala.

“Keadaan jalan berturap tar kering serta rata. Cuaca semasa kejadian adalah baik,” katanya.

Jelas Alexson, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily