Remaja, rider ‘Food Panda’ ditangkap menunggang secara merbahaya di Kuching

Empat suspek yang ditangkap dalam operasi tersebut.

KUCHING, 23 Jan: Seramai empat penunggang motosikal termasuk seorang rider Food Panda ditangkap kerana dikesan melakukan aksi merbahaya di Jalan Tun Abdul Rahman Ya’kub dalam Op Samseng Jalanan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata operasi dilakukan dari jam 4 petang sehingga 5 pagi tadi dan diketuai DSP Mathew Manggie.

Katanya, dalam operasi tersebut keempat suspek yang berusia 15 hingga 20 tahun didapati melalukan aksi merbahaya seperti ‘wheelie’ dan ‘superman’.


“Tiga suspek berusia 15 tahun masing-masing melakukan aksi ala-ala superman dengan mengangkat kedua-dua kaki ke belakang dan bersaing sesama sendiri.

“Manakala suspek keempat berusia 21 tahun yang merupakan rider Food Panda melakukan aksi ‘Wheelie’ dengan mengangkat tayar hadapan.

“Aksi-aksi inj bukan sahaya merbahaya kepada diri sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua suspek katanya disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu, sebanyak 42 buah kenderaan dan 45 orang diperiksa sepanjang operasi tersebut.

Hasilnya, 84 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

“Pasukan operasi turut menyita dua buah motosikal untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 60 APJ 1987,” katanya. — DayakDaily