BINTULU, Sept 9: Seorang remaja perempuan maut, manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan dua kenderaan di Batu 22, Jalan Bintulu-Miri di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu mengakibatkan mangsa, Carine Chieng, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Pero Guyuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.52 petang.
Katanya, sejurus menerima maklumat mengenai insiden berkenaan, sepasukan 10 anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah Produa Myvi dan Toyota Avanza.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua pemandu mengalami kecederaan, manakala penumpang Toyota Avanza didapati sudah tidak bernyawa lagi,” katanya di sini hari ini.
Pero menambah, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily