Padah miliki barangan curi, dua lelaki dicekup polis

Pelbagai barangan curi yang dirampas daripada suspek.

LIMBANG, Sept 9: Tindakan dua lelaki membeli pelbagai barangan curi dengan harga murah akhirnya mengundang padah apabila mereka dicekup polis di Jeti Kampung Seberang Kedai di sini.

Kedua-dua lelaki berusia antara 32 dan 23 tahun tersebut diberkas kira-kira pukul 1 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Supt Mohd Bukhori Saffai berkata, siasatan awal mendapati kedua suspek telah membeli barangan curi seperti gergaji elektrik, televisyen, mesin pengimpal dan mesin pemampat udara.


Jelasnya, kedua-dua suspek mengaku membeli pelbagai barangan tersebut daripada seorang penganggur berumur 31 tahun

“Kesemua barangan terbabit dilaporkan hilang dalam satu kejadian kes pecah kedai yang dilaporkan pada Mac 5 lalu.

“Berdasarkan laporan diterima, kes pecah kedai itu dilaporkan berlaku di Jalan Kubong di sini,” katanya di sini hari ini.

Mohd Bukhori menambah, kedua-dua suspek ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen sah mengenai pelbagai barangan tersebut.

Katanya, mereka kini ditahan reman untuk siasatan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” ujarnya. ā€” DayakDaily