Remaja maut selepas motosikal langgar penghadang jalan

Keadaan motosikal mangsa selepas melanggar penghadang jalan.

SRI AMAN,24 Feb: Seorang remaja lelaki maut akibat cedera parah selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jambatan Sungai Puloh di Kilometer 68 Jalan Sri Aman-Kuching pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 9.15 pagi, di mana ketika itu mangsa, 15 tahun, dikatakan sedang dalam perjalanan dari Sri Aman ke SMK Balai Ringin.

Katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan.

“Dalam kemalangan tersebut, mangsa iaitu penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Klinik Kesihatan Pantu,” katanya.

Jelas Alexson, polis sedang mendapat maklumat dan mencari saksi kejadian.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Rumah Mayat Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1983. — DayakDaily