Remaja maut, rempuh pikap pakir tepi jalan di Jalan Bau-Stass

Motosikal mangsa remuk selepas kemalangan tersebut.

BAU, 26 Nov: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Bau-Stass, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata mangsa menunggang motosikal semasa kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.30 malam.

Katanya, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Pasar Bau menuju balik ke rumahnya di Kampung Stass.


“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah pikap yang dipakirkan di tepi jalan tersebut.

“Mangsa terpelanting di atas jalan bersama motosikalnya dan disahkan meninggal dunia oleh Pihak Paramedik Hospital Bau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati pikap tersebut diletakkan di tepi sebelah kiri jalan kerana mengalami kerosakan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily