Oleh Dean Adam
BAU, Ogos 25: Seorang remaja lelaki menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM24, Jalan Bau-Stass, petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu mengakibatkan mangsa, Jerryco So-uh, 13, disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Bau.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Skibang menuju ke Kampung Stass.
Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Toyota Hilux.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada anggota badannya.
“Mangsa menghembuskan nafas terakhir semasa dibawa ke Hospital Bau,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, pemandu Toyota Hilux yang berusia 29 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily