Remaja lelaki maut, motosikal bergesel dengan lori

Motosikal yang ditunggang mangsa.
Advertisement

MIRI, April 28: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Simpang Sungai Rait Jalan Miri-Bintulu di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Mohd Amirul Hisyam Hanapih, 16, dari Kampung Pejuang Kelulit Bekenu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori yang dipandu oleh lelaki berusia 31 tahun dikatakan sedang dalam perjalanan datang dari arah Miri menghala ke Bintulu.

Advertisement

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, lori tersebut dikatakan telah memotong motosikal mangsa yang berada di bahu jalan sebelah kiri.

“Namun, secara tiba-tiba motosikal mangsa hilang kawalan dan bergesel dengan lori itu lalu terjatuh.

“Pemandu lori yang merasa seperti dilanggar sesuatu kemudian memberhentikan kenderaannya sebelum melihat seorang lelaki terbaring di atas jalan dengan kesan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu lori itu untuk siasatan lanjut.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement