Lelaki temui ajal, motosikal bertembung dengan lori

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan.

MERADONG, April 28: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bakong-Meradong di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu mengakibatkan mangsa, Among Lungau, 54, dari Rumah Suring, Sungai Pidik di sini meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Kanowit.


Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

“Kesan perlanggaran kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah pada anggota badannya.

“Pemandu lori serta dua lagi penumpang pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Alexson, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 5.43 petang oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Bintangor yang hadir di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily