Remaja lelaki keluar mencari siput bakau dilaporkan hilang

Fire and Rescue Department Malaysia/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia logo

Oleh Dean Adam

LUNDU, Ogos 19: Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas keluar mengikut bapanya mencari siput bakau di kawasan Sungai Kangka, Sampadi di sini semalam.

Mangsa yang hilang dikenalpasti sebagai Jackson Jimbat, berusia 18 tahun.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.58 malam.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan keluar bersama bapanya pada pukul 3 petang untuk mencari siput bakau.

“Semasa kejadian, bapa mangsa mencari siput bakau ke arah sebelah kanan sungai, manakala anaknya masih menunggu di dalam perahu dan jarak mereka adalah dalam 6 meter.

“Selepas itu, bapa mangsa melihat anaknya naik ke darat untuk mencari siput, namun kelibatnya terus tidak nampak selepas itu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, bapa mangsa kemudian bersama penduduk kampung melancarkan gerakan mencari mangsa, namun usaha tersebut masih gagal.

“Setakat pukul 7 pagi tadi, mangsa masih gagal dikesan dan operasi mencari dan menyelamat diteruskan,” katanya. ā€”DayakDaily