Remaja lelaki hilang ditemui mati lemas

Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Oleh Dean Adam

DALAT, Nov 12: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang semasa mandi di Sungai Kampung Terus Oya sejak tiga hari lepas ditemui mati lemas, hari ini.

Mangsa, Rabani Abd. Razak, 14, ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.


Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 2 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan lemas sebelum ini.

Katanya, mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya dihantar ke Hospital Dalat untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga hari ini ditamatkan pada pukul 8.50 pagi,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan keseronokan empat remaja lelaki mandi di sungai berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas dalam kejadian di Sungai Kampung Terus, Oya di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa dikatakan hilang dibawa arus sungai yang deras.

Berdasarkan laporan diterima, sebelum kejadian mangsa dikatakan bersama tiga rakannya sedang mandi di sungai berkenaan.

Pada masa kejadian air sungai dikatakan sedang mula hendak pasang dan mangsa cuba untuk berenang menyeberangi sungai berkenaan.

Manakala rakan-rakan yang lain memerhati dan hanya berenang di tepi sahaja sebelum kelibat mangsa tiba-tiba hilang dari pandangan. — DayakDaily