Bau busuk dari bilik sewa bawa penemuan mayat lelaki Indonesia

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 12: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah bilik sewa di Jalan Satok di sini malam tadi.

Mayat mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 9.45 malam selepas menghidu bau busuk dari dalam bilik sewa lelaki berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek berkata, sejurus menerima panggilan berhubung penemuan mayat mangsa, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan awal.

Jelasnya, apabila tiba, pasukan polis mendapati mangsa yang berusia 34 tahun sudah mati dalam keadaan tergantung di bilik sewa tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati mayat mangsa hampir reput dan dipercayai telah mati lebih daripada 48 jam.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah dikesan di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Ng menambah, siasatan awal mendapati mangsa telah menyewa di bilik sewa berkenaan sejak 6 bulan lepas.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily