Remaja lelaki bakar kereta bapa sendiri dicekup polis

Keadaan betis suspek yang turut melecur akibat kebakaran

Oleh Dean Adam

BAU, Ogos 12: Seorang remaja lelaki yang dipercayai menyimbah petrol dan membakar kereta hingga mengakibatkan kecederaan kepada dua individu di Kampung Stenggang pada Sabtu lepas berjaya dicekup hari ini.

Suspek berusia 19 tahun itu diberkas oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau pada pukul 9.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, suspek yang ditahan kemudian dibawa ke IPD Bau untuk tindakan lanjut.

“Suspek akan direman esok bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Poge menambah, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu melecur di bahagian kakinya semasa kejadian.

Katanya Poge, Seksyen 327 Kanun Keseksaan memperuntukkan pemenjaraan yang boleh sampai 10 tahun dan juga dikenakan denda dan sebat.

“Manakala, Seksyen 506 Kanun Keseksaan boleh diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun.

“Seksyen 7 Akta Bahan Letupan pula memperuntukkan penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

DayakDaily semalam melaporkan gara-gara tidak dibenarkan menggunakan sebuah kereta, seorang remaja lelaki bertindak di luar kawalan apabila bertindak membakar kenderaan milik bapanya dalam satu kejadian di Kampung Stenggang di sini malam Sabtu.

Berdasarkan laporan polis yang diterima, suspek pada mulanya meminta kunci kereta daripada ahli keluarganya, namun dilarang oleh bapanya.

Berang selepas tidak dibenarkan menggunakan kereta, suspek mengeluarkan kata-kata akan bertindak membakar dan mengebom kereta milik ayah mereka.

Suspek telah keluar dari rumah dan apabila kembali semula ke rumah, dia dilihat membawa botol yang berisi minyak petrol kemudian menyimbah minyak petrol tersebut pada kereta, pintu pagar dan dinding rumah dan bertindak membakarnya dengan menggunakan pemetik api. — DayakDaily