Remaja dipercayai jatuh dalam sungai semasa tidur, ditemui mati di Sarikei

Mayat mangsa diusung ke kenderaan polis sebaik sahaja tiba di jeti terminal Sarikei.

SARIKEI, April 29: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh semasa tidur di atas kapal nelayan di Batang Rajang berdekatan kilang WTK Kinyau, di sini ditemui mati hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat Muhd Imran Najmi Mokhtar, 18, ditemui orang awam sekitar jam 11.30 pagi.

Jelasnya, mayat mangsa ditemui terapung iaitu kira-kira 100 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh.


Mayat mangsa kemudian dibawa oleh pasukan Operasi dan Menyelamat (SAR) ke jeti Terminal Sarikei dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa yang berasal dari Kampung Lot Baru, Belawai pada hari kejadian (27 April) bersama rakannya berehat setelah sesi memunggah pukat hanyut iaitu sekitar jam 7 malam.

Tiba-tiba sekitar jam 12 tengah malam, rakan yang sama tidur dengan mangsa di atas kapal tersebut mendapati mangsa tiada lagi di atas kapal dan terus menghubungi rakan-rakan yang lain.

Selang beberapa jam kemudian, mereka menjumpai selimut mangsa di permukaan air dan mengesyaki mangsa telah jatuh ke dalam sungai.

Laporan kehilangan mangsa telah dibuat semalam (Rabu) dan operasi SAR mangsa terus dilancarkan.

Turut menyertai operasi tersebut ialah polis marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Perikanan Sarawak, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan penduduk kampung. — DayakDaily