Remaja berselisih faham dengan ibu, ditemui sembunyi di dalam tandas surau

Mangsa memeluk erat ibunya selepas ditemui pasukan mencari dan menyelamat.

KUCHING, 8 Okt: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas berselisih faham dengan ibunya di Kampung Pinang Jawa Gita, ditemui selamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada jam 1.04 pagi tadi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa.


“Mangsa dilaporkan lari ke dalam hutan dan selepas tiga berusaha mencari mangsa menemui jalan buntu, keluarganya kemudian terus membuat laporan di Balai Polis Gita.

“Pasukan operasi memulakan pencarian pada jam 1.13 pagi sekitar radius 500 meter di kawasan belukar dan surau berdekatan.

“Pada jam 2.48 pagi, mangsa telah dijumpai bersembunyi di dalam tandas lelaki surau dengan pintu berkunci dari dalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anggota Bomba kemudian memujuk mangsa keluar dan seterusnya dibawa balik dan diserahkan kepada keluarganya.

Keadaan mangsa adalah selamat tanpa sebarang kecederaan. — DayakDaily