BINTULU, 30 Julai: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun merupakan antara 10 lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti penagihan dan pengedaran dadah semalam.
Menurut Facebook PDRM Bintulu, kesemua 10 suspek ditangkap dalam satu operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bintulu di Jalan Masjid dan Jalan Sultan Iskandar, di sini.
Katanya, kesemua yang ditahan dalam operasi tersebut berusia lingkungan 17 hingga 48 tahun.
“PDRM Bintulu telah menahan 10 lelaki tempatan, yang mana sembilan daripadanya terlibat dalam aktiviti penagihan dadah dan seorang suspek terlibat pengedaran dadah,” katanya.
Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ditahan untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun dan pengawasan 2 tahun,” katanya.
Selain itu, seorang daripada suspek turut ditahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana didapati memiliki dadah jenis syabu seberat 0.5 gram.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 5 tahun dan denda RM100,000.
“Manakala seorang daripada suspek yang disyaki pengedar dadah turut disiasat di bawah Seksyen 3(1) ADB (LLPK) 1985,” katanya.
Jelasnya, tangkapan ini merupakan salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di Bintulu.
“Jika mempunyai maklumat berkaitan dadah boleh terus melaporkan kepada IPD Bintulu di talian 086-318304,” katanya. — DayakDaily