Remaja 18 tahun ditangkap, mengedar dadah bernilai RM1.8 juta di Kuching

Sidang media berhubung tangkapan dan rampasan dadah tersebut.

KUCHING, 19 Mei: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditangkap bersama dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.8 juta di sebuah pangsapuri di Batu Kawa semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata suspek ditangkap dalam satu serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak sekitar jam 1.30 pagi.

Katanya, hasil serbuan turut menemui dadah jenis syabu tersebut seberat kira-kira 52kg.


“Modus operandi, suspek dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah syabu sejak April 2023.

“Dadah dikirim melalui perkhidmatan kurier oleh ahli sindiket yang berada di Semenanjung Malaysia.

“Suspek akan menghantar dadah ke lokasi yang diarahkan melalui telefon dan pasaran adalah untuk sekitar daerah Kuching serta daerah-daerah berdekatan,” katanya dalam sidang media di IPK Sarawak hari ini.

Suspek kini ditahan reman sehingga 25 Mei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan tidak kurang dari 15 kali.

“Suspek didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing juga mendapati dia negatif dadah,” katanya.

Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah kereta yang dianggarkan bernilai RM40,000.

“Kereta tersebut kini disita di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988,” katanya. — DayakDaily