Remaja 17 tahun antara ditahan berkaitan penyalahgunaan dadah di Serian

AntarasSuspek dan dadah yang dirampas dalam Ops Tapis oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian semalam (5 Feb).

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


SERIAN, 6 Feb: Seorang remaja berusia 17 tahun antara enam suspek yang ditahan Polis Serian selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam satu operasi  dekat Kampung Rayang di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, susulan maklumat yang diterima, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian bertindak menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan sekitar 6.30 petang semalam.

Katanya, semasa serbuan terbabit seorang suspek lelaki tempatan turut ditahan selepas disyaki terrlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.


“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas suspek, pihak polis telah menjumpai satu beg uncang warna hitam yang apabila diperiksa didalamnya mengandungi tujuh paket plastik lutsinar berwarna kebiruan masing-masing  berisi ketulan-ketulan krsital disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat kasar sebanyak 3.5 gram,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain suspek terbabit seorang lagi suspek lelaki turut ditahan di lokasi sama dan pemeriksaan terhadapnya menemui  sepaket plastik lutsinar yang berisi ketulan-ketulan krsital disyaki dadah jenis Methamphetamine anggaran berat kasar 0.34 gram yang disembunyikan dalam satu kotak rokok.

Jelasnya, kedua-dua suspek tersebut telah ditahan dan kes mereka (suspek) disiasat di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Aswandy berkata, pihaknya turut menahan empat lagi suspek, iaitu seorang wanita dan empat lelaki, dalam operasi terbabit dalam kawasan kampung yang sama semalam selepas dipercayai turut terlibat dengan kegiatan sama.

Katanya, ujian saringan awal air kencing yang dilakukan keatas semua suspek terbabait mendapati kesemua mereka positif dadah Amphetamine atau Methaphetamine.

“Kesemua suspek yang ditangkap itu, berusia 17 tahun sehingga 31 tahun dan kesemuanya tidak berkerja.

“Manakala nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah  lebih kurang RM450 di dalam harga pasaran tempatan dan  dipercayai untuk diedarkan kepada penagih-penagih di kawasan daerah Serian dan kampung kampung yang berdekatan,” katanya.

Tambah Aswandy, kesemua suspek terbabit kini ditahan di lokap IPD Serian dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan suspek-suspek terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali  bagi kesalahan dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki memiliki bahan terlarang atau dadah merbahaya.

“Manakala bagi kesalahan air kencing  positif dadah jenis Amphetamine/ Methamphetamine, kes telah disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman  denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” jelasnya.

Tegas Aswandy, operasi berterusan akan dilaksanakan pada masa hadapan bagi mengekang kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan Daerah Serian terutamanya dikawasan kampung-kampung berdekatan.

Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai untuk sentiasa peka dengan masalah penyalahgunaan dadah di dalam kampung dan sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan terbabit kepada polis. — DayakDaily