KUCHING, Mac 16: Fasiliti terpilih di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) di Kuala Lumpur telah diarah tutup sementara.
Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia untuk proses sanitasi setelah fasiliti dikunjungi seorang atlet negara yang didapati positif Covid-19.
“Sebagai langkah segera untuk keselamatan dan kesihatan atlet-atlet pelbagai acara sukan, saya telah mengarahkan agar fasiliti MSN dan ISN yang telah dikunjungi atlet tersebut ditutup sementara untuk tujuan proses sanitasi sepenuhnya.
“Proses ini dijangka selesai dalam masa dua hingga tiga hari,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Tambah Reezal, atlet tersebut, Jackie Wong telah didapati positif Covid-19 dan dipercayai dijangkiti daripada ayah beliau yang juga didapati positif Covid-19.
Katanya, Wong telah pulang ke Sarawak pada Mac 11 dan dikuarantin di Hospital Sibu.
Atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tambah Reezal, semua atlet, pegawai dan jurulatih yang pernah bersama Wong dinasihati menjalani kuarantin di asrama, melakukan ujian kesihatan dan mematuhi arahan KKM. — DayakDaily