S4S gesa Sarawak ketatkan kemasukan orang luar

Chan Chee Hiong

KUCHING, 16 Mac: Gerakan Sarawak for Sarawakians (S4S) menggesa kerajaan Sarawak menghalang kemasukan warga asing termasuk dari Semenanjung Malaysia ke negeri ini.

Jurucakap S4S, Chan Chee Hiong, berkata saranan tersebut adalah sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19 dengan lebih berkesan.

Justeru, katanya kawalan ketat harus dilaksanakan di semua pintu masuk ke negeri ini terutamanya lapangan terbang.


“Dengan penularan Covid-19 yang semakin serius di Sarawak, kerajaan perlu tegas dan segera menyelesaikannya.

“Kerajaan harus segera memperketatkan kawalan di semua lapangan terbang, jangan biarkan orang luar termasuk dari Semenanjung Malaysia masuk ke Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Chan, kawalan ketat harus diambil setelah ramai yang disyaki sebagai pembawa Covid-19 masih gagal dikesan.

Menurut beliau lagi, langkah seterusnya yang harus kerajaan ambil adalah melarang sebarang perhimpunan.

“Sesiapa yang tidak mematuhi arahan ini akan dihukum. Orang ramai juga harus memberi kerjasama dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan yang betul untuk tempoh 30 hari akan datang.

“Elakkan dari mengadakan atau menyertai perhimpunan, aktiviti luar, aktiviti sukan dan sekolah harus menangguhkan sesi pembelajaran selama dua minggu,” ujar Chan. — DayakDaily