Rasuah: 2 pemain skuad Bujang Senang serta bookie direman enam hari

Ketiga-tiga tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret, Kuching hari ini.

KUCHING, Feb 15: Dua pemain bola sepak Sarawak dan seorang bookie direman enam hari selepas didakwa terlibat dalam aktiviti mengatur perlawanan antara Sarawak dan Felcra Fc dalam aksi Liga Premier 2018 Feb 17 lalu.

Perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga tertuduh dikeluarkan oleh Majistret Portia Tham Ong Leng di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sebelum itu, ketiga-tiga tertuduh iaitu Maswandi Zekeria, 29, Mohd Hafiz Abu Bakar, 28, dan Mohamad Zaiman Rosli yang diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di perkarangan mahkamah di sini kira-kira pukul 9 pagi.

Ketiga-tiga tertuduh direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Permohonan reman dibuat Pegawai Penyiasat SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala ketiga-tiga suspek tidak diwakili peguam.

Ketiga tiga tertuduh direman enam hari bermula Feb 15 sehingga 20 ini. — DayakDaily