Mitsubishi Lancer yang disyaki diseludup ditemui oleh 11RAMD

Kereta Mitsubishi Lancer Evo 3 yang dirampas oleh pasukan tentera dari 11RAMD.

SERIKIN, Feb 15: Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup keluar sebuah kereta Mitsubishi Lancer Evo 3 berjaya digagalkan oleh pasukan anggota tentera dari Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11RAMD) menerusi satu serbuan di kawasan Jagoi Estate di sini malam tadi.

Bagaimanapun, pemandu kereta itu berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan tentera.

Pegawai Memerintah 11RAMD, Lt Kol Salmi Istikh Ahmad berkata, sebelum itu, sepasukan anggota tentera telah membuat rondaan berkenderaan melibatkan sektor Serikin di sini.


Katanya, sebaik tiba di kawasan tapak semaian benih sawit Jagoi Estate kira-kira pukul 7.20 malam, kumpulan ronda terbabit telah mengesan sebuah kereta berwarna merah jenis Mitsubishi Lancer Evo 3.

“Pergerakan kereta yang dalam keadaan mencurigakan itu dikesan pada jarak 1 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia.

“Kenderaan peronda kemudian bertindak menyekat kereta terbabit di tengah jalan, namun pemandunya sempat melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Salmi memberitahu, pemeriksaan dalam kereta itu tidak menemui sebarang dokumen.

Katanya, pihak polis turut mengesahkan nombor pendaftaran pada kereta tersebut adalah palsu.

“Satu laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. — DayakDaily