Rapelson jalani kuarantin di rumah, dipercayai jadi kontak rapat kes positif Covid-19


KUCHING, 24 Mac: Presiden Persatuan Anak Istimewa Sarawak (PERAIS), Rapelson Richard Hamit diarahkan untuk menjalani Perintah Kuarantin 14 hari di rumah selepas dipercayai menjadi kontak rapat kepada kes positif di Kampung Batu Gong Lama, Siburan baru-baru ini.

Rapelson menerusi satu kenyataan hari ini berkata perintah itu di berikan kepada beliau dan keluarga selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Dewan Masyarakat kampung berkenaan.

Katanya, susulan arahan terbabit, beliau bertindaknmembatalkan atau menangguhkan sebarang aktiviti berkaitan Perais serta urusan lain yang melibatkan dan memerlukan kehadiran beliau.


“Saya dan penduduk di kampung Batu Gong Lama telah diarahkan untuk menjalani ujian calitan saringan Covid-19 serta kuarantin di rumah selepas dipercayai menjadi kontak rapat kepada kes positif kluster berkenaan ketika terlibat dengan program gotong royong dan juga program walkabout penyerahan cek oleh ADUN Mambong Datuk Dr Jerip Susil di Dewan Masyarakat Kampung Baru Gong Lama,” katanya.

Rapelson yang juga merupakan atlet Renang Para Sarawak dan kininsedang menjalani latihan dirumah turut menyeru agar sebarang majlis keramaian, gotong royong, atau program kemasyarakatan melibatkan Kerajaan atau Badan Bukan Kerajaan yang lain di mana mana tempat harus ditangguhkan buat sementara.

Penangguhan itu katanya harus dilaksanakan sehingga semua rakyat di negeri ini mendapat dos vaksin yang lengkap bagi mengekang penularan wabak Covid19 yang mana situasi semasa peningkatan penularan Covid-19 di Sarawak amat membimbangkan.

“Hal sedemikian bukan sahaja untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan diri dan keluarga sahaja malahan untuk menjaga dan kesejahteraan masyarakat sekeliling yang lain,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan kepada penduduk Kampung dan masyarakat sekeliling agar bertenang dan mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengekang penularan wabak Covid19. -DayakDaily