Randau Digital Sarawak Ep 2 sentuh pengertian OKSHE

Randau Digital Sarawak (Bahasa Iban) episod 2 dikendalikan oleh DJ Ijau (kiri) bersama (dari kanan) Nurfadzalina dan tetamu dari SMA Dalcy Pani, Contesa Muat dan Felicity Anai.

KUCHING, Mei 27: Program Radio Randau Digital Sarawak kembali lagi bulan ini dengan topik “Juh, kenali apa itu Old Kuching Smart Heritage (OKSHE)”.

Pogram memberikan para pendengar di seluruh Sarawak gambaran tentang inisiatif memelihara dan memulihara warisan.

OKSHE merupakan inisiatif di bawah Jabatan Ketua Menteri yang bertanggungjawab untuk memelihara dan memulihara warisan dan budaya melalui teknologi pintar.


Sebahagian daripada objektif OKSHE adalah untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat melalui perubahan dari segi cara hidup.

“OKSHE merupakan projek perintis untuk menjadikan Old Kuching sebagai bandar warisan pintar di Kuching dalam tempoh masa lima tahun akan datang,” kata Timbalan Ketua Saintis merangkap Ketua Penasihat Ekonomi Digital Sarawak, Profesor Ir Dr Al Khalid Othman.

Beliau berkata demikian dalam temubual Randau Digital Sarawak anjuran Sarawak Multimedia Authority (SMA) dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) yang disiarkan menerusi CATS FM pada Mei 22 yang lepas.

Turut hadir Pegawai Tadbir SMA, Abang Mohd Nashriq Abang Heilman.

Al Khalid (dua dari kanan) merakamkan kenangan bersama peserta Randau Digital Sarawak (Bahasa Melayu) Episod 2.

Antara contoh inisiatif yang dilaksanakan adalah program Agenda OKSHE yang di adakan pada Mac 25-31 yang memperkenalkan penggunaan e-wallet seperti Sarawak Pay kepada pengusaha dan warung kecil di kampung-kampung.

Contoh lain adalah peraduan dan pertandingan yang melibatkan penggunaan aplikasi seperti e-peraduan yang menawarkan hadiah-hadiah menarik, pertandingan amazing race yang menggunakan aplikasi telefon pintar dan sebagainya.

Pada randau tersebut, mereka berkongsi mengenai keunikan program OKSHE dalam menggalakkan integrasi antara kerajaan dengan komuniti untuk mempromosikan budaya dan warisan di Kuching ke arah digital serta pintar selari dengan inisiatif agenda ekonomi digital Sarawak untuk mewujudkan Bandar Pintar (Smart City).

OKSHE bermula di Kuching sebagai projek perintis, dan banyak lagi akan dibangunkan pada masa akan datang berdasarkan sejarah Old Kuching sebagai lokasi utama pentadbiran kerajaan, serta pusat aktiviti perniagaan masyarakat terawal di sepanjang sungai Sarawak yang menjadi asas kepada warisan bangsa di kawasan ini.

Melalui warisan sejarah yang ketara dan tidak ketara, program budaya dan warisan, bandaraya pintar Old Kuching mampu menjadi pintu masuk ke bandar-bandar lain di Sarawak sekaligus memampankan lagi pembangunan ekonomi negeri.

Menurut Prof Khalid, projek OKSHE adalah projek perintis yang boleh dicadangkan ke kawasan warisan seperti di Baram, Telang Usan dan lain-lain.

“Hal ini membuktikan bahawa, orang Sarawak sudah bersedia untuk menerima perubahan dan dalam masa yang sama masih mengekalkan aspek warisan bangsa,” tambah beliau.

Program radio “Randau Digital Sarawak” merupakan episod kedua dalam musim kedua, siri yang disiarkan dalam bahasa Iban dan Melayu menerusi bahasa iban saluran Rentak Ruai dari jam 3 hingga 4 petang dan Cats Drivetime jam 5 hingga 6 petang masing-masing.

Randau Digital Sarawak ini akan menemui pendengar CATS FM bermula bulan April sehingga September 2019 dan ke udara sebulan sekali manakala Info Kapsul anjuran SMA dengan kerjasama AZAM Sarawak boleh didengarkan setiap hari di CATS FM. — DayakDaily