Orang ramai digesa untuk memeriksa tarikh berita viral yang dikongsi atas talian

Dr Kelvin Yii

KUCHING, Mei 27: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii meminta orang ramai memeriksa tarikh sesuatu berita yang diviralkan di laman sosial sebelum memberikan maklumbalas terhadap berita terbabit.

Ini berikutan ada bahan berita yang diviralkan adalah bukan yang baru berlaku, termasuk kisah seorang pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi gagal memasuki universiti awam di negara ini.

“Bagaimanapun berita ini berusia 10 bulan. Kalau kamu periksa tarikhnya ialah Ogos 6, 2018,” kata Dr Yii dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Beliau berkata semenjak itu, pelajar terbabit telah ditawarkan untuk belajar bidang perubatan di dua universiti awam serta telah menerima salah satu tawaran berkenaan dan sedang belajar di salah satu universiti terbabit.

“Jadi moral cerita ini, periksa tarikhnya sebelum bertindak balas,” katanya.

Beliau sehubungan itu percaya berita mengenai pelajar itu diviralkan baru-baru ini kemungkinan bagi memberikan maklumat yang salah dan mewujudkan rasa marah terhadap perkara lain yang sedang berlaku sekarang terutama berkaitan isu biasiswa untuk rakyat Palestin. — DayakDaily