This Content Is Only For Subscribers
Oleh Brad Rantayy
MIRI, 20 Jun: Polis Bukit Aman dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama JSJN Sarawak menahan tiga lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM47.2 juta dalam empat serbuan di Miri pada Ahad lepas (18 Jun).
Menurut Pengarah JSJN Narkotik Bukit Aman Dato’ Sri Mohd Kamaruddin Md Din dalam satu sidang media di Miri hari ini, kejayaan rampasan dan tangkapan tersebut merupakan yang terbesar setakat ini dalam sejarah Polis Sarawak.
Ujarnya, ketiga-tiga suspek yang berusia 28 sehingga 37 tahun ditahan dalam satu operasi yang dilancarkan sekitar jam 1.30 pagi hingga 4 petang.
“Tiga serbuan dilakukan pada premis yang dijadikan stor penyimpanan dadah, manakala satu lagi di kawasan bebas sekitar Miri yang membawa kepada penemuan dan rampasan pelbagai dadah berjumlah 768.5kg,” katanya.
Pecahan dadah yang dirampas adalah MDMA atau Methylenedioxymethamphetamine (81.8kg); Ketamin (686.7kg) dan pil Eramin 5 (1.15 gram).
“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 2,561,740 orang penagih dadah,” Mohd Kamaruddin berkata.
Sindiket yang dipercayai mula aktif sejak bulan Februari tahun ini memggunakan perkhidmatan kurier.
“Siasatan awal memdapati dadah yang dirampas ini dibawa masuk dari Brazil dan Taiwan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek telah direman sejak 19 Jun (Isnin) bagi membantu siasatan.
Saringan awal polis mendapati ketiga-tiga suspek turut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetanine.
“Semakan rekod jenayah mendapati dua daripada tiga suspek mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah yang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Akta Rumah Judi Terbuka.
“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988, dimana JSJN telah menyita perbagai aset sindiket bernilai RM84,757.0O.
Antara aset yang disita adalah sebuah kenderaan jenis Honda City (RM80,000), wang tunai (RM2,800) dan barangan kemas (RM1,957).
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah sebanyak RM47,292,389,” Mohd Kamaruddin berkata.
Dalam pada itu, pada hari yang sama, JSJN Bukit Aman bersama JSJN Sarawak turut menyerbu sebuah pusat hiburan dan menahan seramai 117 pengunjung yang terdiri daripada 58 lelaki dan 59 wanita.
“Dari jumlah tersebut, seramai 57 orang didapati positif dadah,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media itu Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dan Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu. — DayakDaily