KUCHING, 12 April: Sejak Jun 2020, sejumlah 14,574 tangkapan melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance direkodkan dengan anggaran rampasan bernilai RM33 juta.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dalam tempoh tahun ini juga, penyitaan harta pengedar dan tangkapan dibawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) juga turut meningkat.
“Sejak Jun 2020, harta bernilai RM10,244,472.8 telah disita dan 59 tangkapan dibawah LLPK telah direkodkan,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.
Terdahulu Fatimah menerima kunjungan hormat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Dan Narkotik (JSJN) Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin.
Menurut beliau, Jasmirol yang mengemudi JSJN Sarawak dan Jawatankuasa Teknikal OSC MIDS sejak 9 Jun 2020 telah merekodkan pencapaian yang cukup cemerlang.
Katanya, kesan rampasan dadah yang dilakukan oleh ACP Jasmirol dan pasukannya telah dapat menyelamat 387,011 orang yang berpotensi menagih atau menyalahguna dadah.
“Atau 3,096,093 kali penggunaan bagi setiap bulan terhadap pelbagai jenis dadah seperti syabu, ketamine, ganja, serbuk ectasy, eramin dan sebagainya.
“Mengurangkan bekalan dan pengedar dadah, mengurangkan bekalan dadah kepada penagih dan pelanggan pusat hiburan, melemahkan rangkaian sindiket.
“Mengurangkan kes jenayah akibat dadah dan meningkatkan kadar siasatan dan pendakwaan kes berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance,” ujar Fatimah.
ACP Jasmirol bakal menggalas tugasan baharunya yang lebih mencabar sebagai Ketua Jabatan JSJN Kuala Lumpur.
Turut serta pada kunjungan hormat tersebut ialah ACP Mustapha Kamal Gani Abdullah yang bakal menjadi Ketua JSJN Sarawak yang baharu. — DayakDaily