Rakyat perlu sebuah Kerajaan Persekutuan yang dinamik dan progresif selepas PRU-15

Datuk Abdullah Saidol

KUCHING, 11 Okt: Rakyat memerlukan sebuah kerajaan Persekutuan yang dinamik dan progresif dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), ini penting supaya kerajaan Persekutuan yang terbentuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi serta kebajikan rakyat.

Beliau yang juga Adun Semop menegaskan, rakyat sudah tidak mahu lagi mendengar atau melihat polemik-polemik politik yang hanya bertumpu tentang perebutan kuasa dan pangkat.


“Saya yakin warga Malaysia mahu sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan berjiwa besar berkiblatkan memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta membina pembangunan negara ke arah yang lebih maju dan moden,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Dalam pada itu, Saidol memberitahu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membuat persiapan menghadapi PRU-15 sejak beberapa bulan lepas selepas menjangka pembubaran Parlimen akan berlaku pada tahun ini.

Jelas beliau, semua Adun GPS telah menerima arahan untuk mengaktifkan Bilik Gerakan Piliha Raya masing-masing untuk membantu kempen calon kerusi Parlimen GPS.

“Misi kami ialah untuk memastikan wakil GPS yang lebih besar di Dewan Rakyat (Parlimen).

“Ini adalah untuk memastikan kedudukan GPS lebih kukuh di Parlimen bagi meneruskan perjuangan kita dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hak dan kepentingan Sarawak,” tambahnya.

Sementara itu, Datuk Abdullah Saidol menegaskan, GPS menyedari cabaran utama kempen bagi PRU-15 kelak adalah keadaan cuaca yang tidak menentu. — DayakDaily