‘Rakyat ingin perubahan dari kerajaan PH’

Datuk Andrew Wong Kee Yew
Advertisement

SIBU, Mei 12: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Andrew Wong yang kecundang di tangan calon DAP, Oscar Ling dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu menyifatkan kekalahannya adalah disebabkan faktor ‘tsunami’ rakyat yang inginkan perubahan secara keseluruhan.

Menurutnya, bukan kaum Cina sahaja yang mahukan perubahan, malah komuniti lain juga bangkit dengan memilih Pakatan Harapan (PH) dengan impian untuk mendapatkan perubahan.

“Keputusan dalam PRU14 lalu jelas menunjukkan rakyat amat dahagakan perubahan dengan memberikan sokongan kepada calon-calon PH.

Advertisement

“Saya secara peribadi berhati terbuka dengan kekalahan saya di Parlimen Sibu kerana masyarakat setempat di sini masih inginkan pemimpin PH,” katanya di sini hari ini.

Wong menambah, dengan keputusan itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan yang dibentuk PH akan terus membawa kemajuan serta pembangunan untuk rakyat Sarawak.

Katanya, kerajaan pimpinan PH tidak seharusnya meminggirkan keperluan rakyat di negeri ini memandangkan Sarawak kini dilabelkan sebagai negeri pembangkang.

“Meskipun ada perubahan dalam kerajaan Persekutuan, apa sahaja projek yang dilaksanakan di Sarawak haruslah diberi keutamaan.

“Ini penting supaya tiada masalah yang timbul kelak hingga mengakibatkan berlakunya projek sakit atau projek yang terbengkalai,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement