-
KUCHING, April 3: Acara Rainforest Fringe Festival (RFF) 2018 yang akan berlansung selama 10 hari sebelum ketibaan Pesta Muzik Rainforest (RWMF) 2018 akan diadakan di bandaraya ini dari Julai 6 hingga 15 depan.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara tersebut yang akan kali kedua diadakan tahun ini akan menampilkan persembahan artis muzik, penari, penyanyi, jurugambar, pereka tempatan dan juga peserta antarabangsa.
“RFF adalah acara menarik yang akan memeriahkan bandaraya ini sebelum ketibaan RWMF 2018 yang akan diadakan dari Julai 13 hingga 15 depan,” katanya ketika mengadakan sidang media RFF 2018 di Mulu Meeting Room, Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata RFF 2018 juga bagi menghiburkan pelancong asing yang tiba seminggu awal ke bandaraya ini bagi menyaksikan RWMF 2018 yang dijangka akan menerima lebih dari 18,000 pengunjung.
“Tahun lepas ketibaan pengunjung ke RMWF telah mencecah lebih 18,000 orang. Tahun ini bilangan pengunjung acara RMWF 2018 mungkin berterusan meningkat tetapi kami tidak mahu jumlah mereka sehingga mencecah 20,000 kerana akan menjadikan acara terbabit terlalu sesak,” katanya.
Beliau mendedahkan antara program RFF 2018 ialah persembahan ‘Sarawak: The Indigenous Showcase’ iaitu pembukaan acara terbabit yang akan menampilkan persembahan tarian dan nyanyian kumpulan etnik negeri ini yang secara tradisional dan kontemporari disamping menampilkan Raziman Sarbini iaitu penari dan koreografer berpengkalan di New York.
“Persembahan ini juga akan menampilkan Dewi Liana Seriestha yang berasal dari Kuching dan menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran Miss World Talent pada 2014 dan baru-baru ini telah dipilih sebagai ikon dan penceramah bagi Hari Kebudayaan Dayak Antarabangsa di Indonesia,” katanya.
Persembahan lain termasuk dari kaum Paiwan dari Taiwan dan penyanyi purba Paiwan, Seredaw Tariyaljan serta penampilan pelakon Life Of Pi, Hao-Hsiang Hsu.
Program keduanya ialah ‘First People Party’ iaitu program di Black Box, Borneo 744 yang akan menampilkan persembahan kumpulan Electric Fields, At Adau dan Pete Kallang.
Program ketiga ialah ‘Bamboo That Binds & Wood’ yang akan menampilkan aktiviti yang mengalakkan pengunaan inovatif buluh oleh Wendy Teo dari negeri ini bagi menghasilkan angklung dan ‘The Creative Forum’ yang akan menampilkan Kenneth Cobonpue iaitu penceramah antarabangsa dari Filipina dan Shahril Faisal iaitu pereka perabot negara ini serta ramai lagi. — DayakDaily