Rabies ragut satu lagi nyawa di Sarawak

A stethoscope. - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 11 Nov: Seorang lelaki berusia 42 tahun maut akibat dijangkiti virus rabies di Sarawak.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pukul 6.53 pagi pada 20 Oktober 2020.

Katanya, mangsa disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada tarikh sama.


“Mangsa dimasukkan ke HUS pada 15 Oktober selepas mengalami lemah anggota badan dan tidak mampu berjalan selain kesukaran tidur akibat halusinasi, hilang selera makan dan kesukaran untuk minum,” kata Dr Noor Hisham menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku dalam kes tersebut.

Namun, katanya, mangsa ada memelihara tujuh ekor kucing dengan lima daripadanya mendapat suntikan vaksin anti-rabies dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), sehari selepas mengalami gejala.

“Kesemua kucing ini sihat dan tiada perubahan tingkah laku. Keluarga kes memaklumkan tiada haiwan yang didapati sakit atau mati dalam tempoh enam bulan di kawasan lokaliti rumah kes,” ujar beliau lagi.

Dengan kes terbaharu ini, jumlah keseluruhan kes penyakit itu yang menjangkiti manusia di Sarawak meningkat kepada lima bagi tahun ini.

Ia merupakan kes ke-27 sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, walaupun kes terbabit tidak dapat dikaitkan dengan sejarah gigitan anjing atau haiwan, secara umumnya diketahui bahawa jangkitan rabies disebabkan oleh gigitan haiwan terjangkit dengan virus rabies.

“Sarawak masih belum bebas rabies. Pastikan haiwan peliharaan telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies,”jelas beliau. — DayakDaily