Putrajaya sedia guna bayaran balik hutang RM1b S’wak tangani sekolah daif

Putrajaya

KUCHING, 6 Julai: Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara dasarnya untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang Kerajaan Sarawak sebanyak RM1 bilion bagi tujuan baik pulih sekolah daif.

Kementerian Kewangan, menerusi satu kenyataan hari ini, berkata ia bagaimanapun tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan.

“Pada waktu yang sama, kerajaan Sarawak masih berhutang dengan kerajaan persekutuan sebanyak RM2.375 bilion.

“Sekiranya RM1 bilion ini dibayar balik oleh kerajaan Sarawak, maka ia masih berhutang kepada kerajaan persekutuan sebanyak RM1.375 bilion,” kementerian tersebut berkata.

Menurut Kementerian Kewangan, mekanisme perundangan yang ditetapkan adalah seperti berikut:

Pertama, kerajaan Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada kerajaan persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan. Ini adalah selaras dengan penetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kedua, kerajaan persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Ketiga, kerja membaikpulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan berdasarkan tatacara kewangan kerajaan persekutuan semasa.

Keempat, kerajaan Persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan Kerajaan Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih.

“Kementerian Kewangan, dalam pada itu, ingin menjelaskan bahawa cadangan kerajaan Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaik pulih sekolah daif sebenarnya adalah wang pendahuluan kerajaan persekutuan kerana melibatkan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada kerajaan Sarawak sebelum ini.

“Jika disifatkan sebagai bayaran balik pinjaman kepada kerajaan persekutuan, ianya bermaksud dana RM1 bilion tersebut sebenarnya merupakan wang milik kerajaan persekutuan sendiri, yang digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak.”

Kementerian juga berkata pendirian kerajaan persekutuan berhubung kaedah pelaksanaan membaikpulih sekolah daif di Sarawak seperti yang dinyatakan di dalam empat perkara di atas telah dijelaskan kepada kerajaan negeri Sarawak semasa mesyuarat di Kementerian Kewangan pada 11 Mac, 2019, dan disusuli dengan surat bertarikh 20 Mac.

“Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang maklum balas rasmi diterima daripada kerajaan negeri Sarawak,” ujar kementerian. — DayakDaily