PUSPA APM Sarawak Fasa-2 juga mampu tempatkan 2,000 mangsa banjir

Abd Latiff memeriksa tali yang digunakan untuk latihan anggota APM.

KUCHING, 23 Okt: Pusat Pertahanan Awam (PUSPA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak Fasa-2 mampu menempatkan sehingga 2,000 mangsa terutamanya bencana banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata pusat tersebut akan dibina bermula awal tahun hadapan dengan kos peruntukkan sebanyak RM70 juta.

Katanya, selain dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), PUSPA yang terletak di Jalan Bako, Petra Jaya itu akan dilengkapi frasarana keperluan latihan APM Sarawak seperti dewan serbaguna, asrama, bilik kuliah dan padang kawad.


Jelas beliau, peruntukkan (RM70 juta) itu telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerjanya ke PUSPA APM Sarawak Fasa-1 hari ini.

Selain itu, beliau turut memberitahu anggota APM Sarawak sudah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini sehingga Mac tahun hadapan.

Dedahnya, terdapat seramai 1,210 anggota dan pengawai APM Sarawak dengan 64 buah pelbagai jenis bot, 17 buah lori, 16 kenderaan pacuan empat roda, 13 ambulan dan empat unit dron sudah dipersiapkan.

Lawatan kerja tersebut hari ini turut disertai Pangarah Bahagian Pengurusan Bencan dan Operasi APM, Abdul Wahab Rahim dan Pengarah APM Sarawak Mohtar Samat. — DayakDaily