Oleh Chris Bishop
BAU, April 2: Pusat Warisan Bung Bratak (BBHC) akan dibuka kepada umum mulai April 8 ini.
Menurut pengerusi BBHC Datuk Peter Minos, kerja-kerja pembinaan fasiliti di pusat tersebut yang bermula pada lewat 2016 telah pun siap pada bulan Disember tahun lepas.
“Pada Isnin, April 8, 2019, Pusat Warisan Bung Bratak akan dibuka kepada umum.
“Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima kedatangan pengunjung,” kata beliau kepada pemberita di Dewan Panglima Kulow di BBHC hari ini.
Peter percaya BBHC yang merupakan antara kawasan penempatan awal masyarakat Bidayuh di Bau boleh menarik ramai pengunjung.
Dua minggu yang lepas, tambah beliau, pelawat dari Singapura dan Hong Kong berminat untuk datang dan menginap di BBHC.
“Selain daripada itu, kita juga ada menerima pertanyaan dari sekumpulan pelajar universiti di Australia yang turut berminat untuk merasai keindahan alam semulajadi di Bung Bratak,” kata Peter.
Beliau memberitahu pemandangan di sekeliling pusat tersebut sangat indah malah mempunyai dua air terjun dan laluan warisan.
Selain dari itu, ujar beliau, BBHC terletak di antara pekan Bau dan Lundu dan sudah tentu akan menjadi pilihan strategik pengunjung.
“Dari BBHC, pengunjung boleh terus ke Bau yang memiliki banyak tempat pelancongan menarik seperti Gua Angin dan Gua Fairy.
“Pengunjung juga boleh ke Lundu mahupun Sematan yang terkenal dengan keindahan pantai dan sekarang sudah ada Telok Melano yang telahpun dihubungi dengan jalanraya,” kata Peter.
Bermula April 8 ini, setiap pengunjung akan dikenakan bayaran RM100 untuk penginapan semalam dan bayaran itu termasuk sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam.
Pada setiap Mei 1, BBHC akan menganjurkan Sambutan Hari Bung Bratak dan lazimnya akan dihadiri lebih 1,000 orang pelancong dan penduduk setempat.
Pada tarikh tersebut juga iaitu dalam tahun 1838, Bung Bratak menghadapi serangan musuh yang telah memusnahkan tujuh rumah panjang, mengorbankan penduduk serta 300 kanak-kanak diculik.
Bung Bratak adalah kawasan penempatan awal kaum Bidayuh Jagoi Bratak iaitu di atas bukit setinggi 1,000 kaki kira-kira 750 tahun dahulu.
Pusat ini memiliki sejarah yang tersendiri yang seharusnya diketahui masyarakat umum dan dipercayai masyarakat Bidayuh di Bung Bratak berasal dari Sungkong di Kalimantan Barat.
Bermula dari tahun 1841, masyarakat Bung Bratak mulai membuka penempatan baru di sekitar Bau dan Lundu. — DayakDaily