KUCHING, 10 Dis: Pusat Pemindahan Kekal (PPK) bakal dibina di SK Beradek di Padawan bagi menempatkan mangsa bencana khususnya banjir.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan bagi membina PPK tersebut.
“Saya berpendapat, dengan adanya pusat pemindahan kekal adalah satu idea yang baik.
“Kerana kebanyakan yang kita gunakan sekarang adalah sekolah, jadi kalau ada sesi persekolahan, mungkin ada masalah,” kata Uggah.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurus Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Kuching hari ini.
Tambah Uggah, cadangan mewujudkan PPK juga harus mengambil kira dari sudut keperluan.
Katanya, jika sesebuah kawasan bencana (banjir) memiliki populasi tinggi seperti Batu Kawah, maka ia adalah satu masalah.
“Justeru, kita boleh mencadangan satu pusat pemindahan kekal yang boleh menempatkan sejumlah 500 orang, termasuk pelbagai kemudahan,” ujar Uggah.
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Kerajaan sedang merangka langkah untuk menyediakan PPK di setiap negeri.
Ia bagi mengurangkan pergantungan kepada PPS di sekolah selain memastikan kelancaran operasi sekolah yang sering terjejas akibat banjir dan bencana lain.
Setakat ini sembilan PPK sedang dalam perancangan untuk dibina, sekurang-kurangnya satu di setiap negeri, bergantung kepada peruntukan yang diberikan. — DayakDaily