KUCHING, 29 Okt: Satu sindiket judi dalam talian yang disyaki sudah beroperasi sejak dua bulan lalu di sebuah apartmen di Jalan Tun Jugah digempur polis semalam (28 Okt).
Ketua Polis Daerah Kuching Ahsmon Bajah berkata satu serbuan telah dilakukan pada jam 11 pagi dan seramai tiga suspek berusia 22 hingga 42 tahun berjaya ditangkap untuk siasatan lanjut.
Katanya, ketiga-tiga suspek termasuk dua daripada merupakan warga asing merupakan pekerja di pusat operasi dan pengurusan judi dalam talian tersebut dengan gaji RM1,500 sebulan.
“Suspek akan membuat panggilan kepada pelanggan sebagai salah satu cara mempromosikan perjudian tersebut selain menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti whatsApp, telegram, weChat, skype dan Facebook.
“Siasatan awal mendapati pusat tersebut telah beroperasi sejak Ogos dan berdasarkan rekod dan transaksi, dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut sebanyak RM1,000 sehari dan jumlah keseluruhan hasil sejak dua bulan lalu mencecah RM60,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihak polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk 4 unti monitor, komputer, router, modem dan peralatan lain dalam menjalankan kegiatan perjudian tersebut.
Ketiga-tiga suspek ditahan untuk tindakan selanjut di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Pemotongan bekalan elektrik akan dilakukan terhadap premis ini sebagai peruntukkan undang-undang dan Op Dadu Khas ini akan diteruskan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras perjudian haram,” katanya. — DayakDaily