Lelaki warga emas nyaris maut dalam kemalangan

Anggota bomba mengangkat mangsa untuk dibawa ke hospital.

KUCHING, Sept 26: Seorang lelaki warga emas nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu 4, di sini awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.55 pagi itu melibatkan sebuah kereta Perodua Axia dan van Toyota.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.59 pagi.


Jelasnya, sejurus menerima laporan tersebut, sepasukan anggota bomba diarahkan ke lokasi kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lelaki yang berusia 62 tahun mengalami kecederaan dan beliau diberi rawatan awal.

“Namun, pemandu van iaitu seorang wanita pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama ada, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 6.24 pagi,” ujarnya. — DayakDaily