Pusat Khidmat ADUN Tasik Biru serah geran RM50,000 kepada Gereja SDA, Kampung Skibang

Henry (tiga dari kiri) menyerahkan cek RTP kepada wakil Gereja SDA, Kampung Skibang.

Oleh Dean Adam

BAU, Jan 7: Pihak Gereja SDA, Kampung Skibang di sini menerima peruntukan sebanyak RM50,000 dari Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Sabtu lalu.

ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, penyaluran peruntukan tersebut adalah menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Jelasnya, beliau juga akan berusaha untuk memastikan semua rumah ibadat di konstituensi berkenaan mendapat peruntukan seumpamanya.

“Kita akan memastikan semua rumah ibadat ditambahbaik dari semasa ke semasa bagi memastikan keselesaan kesemua umatnya.

“Pendekatan ini jelas menunjukkan komitmen Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg yang menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 77 permohonan dana dari pelbagai institusi agama-agama lain di seluruh Sarawak bagi tujuan pembinaan, penambahbaikan dan baik pulih telah diluluskan melibatkan dana RM15 juta pada 2017.

Manakala, bagi 2018 pula, sebanyak 82 permohonan baharu telah diterima daripada pelbagai institusi agama-agama lain di seluruh negeri melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta. — DayakDaily