Oleh Chris Bishop
KUCHING, 19 OGOS: Pusat Hidupan Liar Semenggoh bakal menjadi hub konservasi hidupan liar dan hutan rantau ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Pusat tersebut sekian lama menjadi habitat kepada The Big Boss Ritchie, iaitu Orang Utan tertua di Sarawak yang dikenali di seluruh dunia dan direkodkan lebih sejuta pelancong telah datang melawat.
Menurut Abang Johari, sejumlah RM30 juta diperuntukkan kerajaan negeri untuk projek menaik taraf pusat tersebut dengan penekanan diberi kepada kajian biodiversiti dan habitat.
“Paling penting adalah penyelidikan, kita mesti menyediakan kawasan khusus untuk para pengkaji melakukan kajian mengenai biodiversiti di sini.
“Penyelidikan ini akan mengimbangi usaha-usaha konservasi dan habitat sekaligus menjadikan Sarawak sebagai hab konservasi hidupan liar dan hutan,’katanya.
Abang Johari berkata demikian pada Majlis Perletakan Batu Asas Pusat Semenggoh Rainforest Discovery dan Pelancaran Konektiviti Internet di sini, hari ini.
Tambah beliau, projek naik taraf tersebut juga melibatkan kerja-kerja penambahbaikan fasiliti dan aksesibiliti.
Katanya, pertama kita akan naik taraf kawasan di pintu masuk pusat dan kedua kita mengindahkan Taman Botanikal kerana kita mempunyai banyak tumbuhan tropika.
“Akan dibina satu tempat untuk pelawat-pelawat melihat apa yang ada di pusat ini.
“Pada masa yang sama, kita akan menaik taraf kemudahan internet di sini dengan arus internet berkelajuan tinggi agar pelawat boleh berkongsi pengalaman mereka dengan dunia luar,’kata Abang Johari.
Beliau juga berkata, dalam usaha kerajaan negeri menghijaukan Sarawak, Taman Negara Bako, Lambir dan Gunung Buda(di belakang Gunung Mulu) yang penuh dengan khazanah dan biodiversiti akan turut dibangunkan dalam tempoh lima tahun ini.
Pada majlis tersebut, Abang Johari turut mengadakan temubual secara atas talian bersama primatologi terkenal yang aktif dalam kajian konservasi hidupan liar.
Dalam usaha membantu konservasi Oran Utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak(STIDC) dan Persatuan Perkayuan Sarawak(STA) masing-masing menyumbang RM50,000.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul
Karim Rahman Hamzah.-DayakDaily.