Pusaka sumbang RM80,000 kepada 796 penduduk di Kampung Rajang, Belawai dan Jerijeh

Len (dua dari kiri) menerima cek sumbangan dari anak-anak syarikat Pusaka yang diserahkan oleh Hashim.

KUCHING, April 22: Seramai 796 penduduk di Kampung Rajang, Jerijeh dan Belawai menerima sumbangan berjumlah RM80,000 dari anak-anak syarikat Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka).

Sumbangan berbentuk wang tunai itu diberikan khusus untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, anak-anak yatim, saudara baru serta golongan yang kurang berkemampuan.

Menurut Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Lembaga Pengurusan Pusaka Datu Len Talif Salleh, ia adalah tanggungjawab sosial korporat Pusaka pada setiap bulan Ramadan sejak 20 tahun yang lalu.

“Namun pada tahun ini, sejajar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak Pusaka dan anak-anak syarikatnya akan menghulur bantuan berupa wang tunai sahaja,” katanya pada majlis ringkas di Wisma Sumber Alam di sini, hari ini.

Len yang juga ADUN Kuala Rajang berharap penerima menggunakan sebaik-baiknya sumbangan yang diberikan agar boleh membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi mereka.

Daripada jumlah 796 penerima, seramai 263 adalah dari Kuala Rajang, 384 dari Belawai dan 149 dari Jerijeh.

Pada majlis tersebut, pengurus besar Pusaka Hashim Bojet telah menyerahkan cek sumbangan kepada Len untuk diagihkan kepada penerima. — DayakDaily