Purata 250 kes gigitan anjing sebulan – DVVS

Dr Rundi (empat dari kanan) memukul gendang sebagai simbolik Perasmian Persidangan Rabies In Borneo (RIB) 2022. Turut kelihatan Adrian (tiga dari kiri).

KUCHING, 27 Sept: Sarawak merekodkan purata 250 kes gigitan anjing sebulan, kata Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sarawak (DVSS) Dr Adrian Susin Ambud.

Katanya, rekod tersebut diperolehi daripada Jabatan Kesihatan Negeri di mana DVSS telah menjalankan siasatan dan memantau setiap kes yang dilaporkan.

“Ini bagi memastikan kita berjaya membendung penularan wabak rabies terutamanya di 72 kawasan yang telah diisyitihar sebagai kawasan jangkitan rabies,” katanya.


Beliau berkata demikian di dalam ucapan aluan di Persidangan Rabies In Borneo (RIB) 2022 yang dihadiri lebih 250 peserta dari Sabah, Singapura, Indonesia, Australia termasuk Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Persidangan telah dirasmikan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah (MFICOR) Dato Sri Dr Stephen Rundi.

Tambah Adrian, daripada jumlah kes gigitan yang disiasat DVVS, sebanyak 61 peratus adalah melibatkan anjing peliharaan manakala 31 peratus melibatkan anjing liar.

“Daripada jumlah itu juga, 66 peratus kes gigitan berlaku akibat provokasi yang dilakukan oleh mangsa.

“Apabila haiwan ini diprovokasi, ia boleh menggigit terus sebagai tindakan mempertahankan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Adrian berkata sebanyak 33 ekor anjing telah didapati positif rabies menerusi 209 sampel rabies yang diambil pada tahun 2022.

Beliau turut berkata bahawa Kerajaan Sarawak akan meneruskan program vaksinasi anti-rabies di kawasan yang telah dikenalpasti.

Katanya, program vaksinasi itu diadakan secara percuma dan perkhidmatan disediakan di semua pejabat veteriner di semua bahagian.

“Setakat 16 September 2022, kita telah berjaya melakukan sebanyak 222,926 suntikan anti-rabies dan jumlah ini akan terus meningkat menerusi program yang bakal kita rancang di kawasan yang telah dikenalpasti,” katanya. — DayakDaily